Bernardo Silva menyangkakan peluang Manchester City untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini sudah berakhir sebaik mereka tewas kepada Newcastle United minggu lalu.

Kekalahan 2-1 di St James' Park itu memberikan Liverpool peluang untuk mendahului liga dengan kelebihan tujuh mata andai mereka menewaskan Leicester City.

Namun, Harry Maguire memadam jaringan awal Sadio Mane untuk memastikan perlawawanan itu berkesudahan 1-1 dan West Ham yang dikendalikan Michail Antonio turut melakukan perkara sama Isnin lalu.

Dalam pada itu, skuad kendalian Pep Guardiola berkenaan membenam Arsenal 3-1 menerusi jaringan hatrik Sergio Aguero sebelum Aymeric Laporte dan Gabriel Jesus memastikan kemenangan 2-0 pasukan itu kelmarin -- membolehkan City memintas Liverpool dengan kelebihan jaringan buat kali pertama sejak Disember lalu walaupun mereka beraksi lebih satu perlawanan berbanding pasukan lain.

"Selepas perlawanan menentang Newcastle, ia merupakan waktu sukar buat kami," kata perancang Portugal itu kepada wartawan.

"Kami amat kecewa, lebih kecewa daripada orang lain.

"Barisan pemain dan pegawai pasukan kesemuanya kecewa kerana kami sangkakan kami telah terlepas kejuaraan liga disebabkan kekalahan itu.

"Namun, kami bernasib baik apabila Liverpool sekadar seri dengan Leicester dan ia kembali membuka peluang buat kami.

"Selepas itu, mereka seri sekali lagi dengan West Ham dan ia bermakna perebutan kejuaraan kembali terbuka.

"Ia memberikan kekuatan mental buat kami.

"Kami akan mencuba yang terdaya dan tidak akan mengulangi kesilapan seperti ketika berdepan Newcastle," katanya.

City akan berdepan satu lagi ujian getir dengan mereka akan melayani kunjungan Chelsea hujung minggu ini.

Mereka tewas buat kali pertama musim ini kepada lawan itu dan kekalahan kali ini mungkin akan mengakibatkan mereka terlepas kedudukan teratas liga kepada Liverpool.

Selepas itu, mereka akan berdepan Newport County dalam pusingan kelima Piala FA sebelum menghadapi Schalke dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah dan akan kembali bertemu Chelsea dalam final Piala Liga Inggeris (EFL).

Silva yakin pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi jadual padat berkenaan.

"Pada pendapat saya, ia tidak mendatangkan masalah, terutama apabila anda mempunyai skuad seperti kami.

"Sekiranya kami tidak berdepan sebarang kecederaan, saya yakin kami mampu mengatasinya.

"Ia bagus untuk melalui banyak perlawanan seperti itu kerana ia bermakna kami perlu berjuang sehabis mungkin.

"Ia bagus untuk meningkatkan keyakinan dan kami akan berusaha sedaya-upaya," tambahnya.