Kapten Manchester United, Harry Maguire, memohon maaf kepada penyokong selepas mengalami kekalahan 5-0 kepada Liverpool di Old Trafford.

Hatrik daripada Mohamed Salah selepas jaringan daripada Naby Keita dan Diogo Jota menyaksikan Liverpool mendahului dalam tempoh 15 minit, sementara pemain gantian, Paul Pogba, dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan terhadap Keita.

Kekalahan tersebut diikuti selepas tewas 4-2 kepada Leicester City, meninggalkan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer lapan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.

Maguire mengakui mereka gagal menampilkan permainan terbaik yang telah ditetapkan pasukan tersebut.


"Kami memohon maaf kepada penyokong, ia merupakan persembahan yang jauh daripada aksi terbaik kami," katanya. "Mereka terus bersama kami sehingga penghujung dan menghargainya tetapi sebagai sebuah pasukan kami harus melakukan yang lebih baik.

"Saya sangat kecewa, kami memberikan banyak peluang, mereka cukup klinikal. Kami terus memiliki peluang tetapi sebagai pemain pertahanan yang dibolosi empat jaringan dalam separuh masa pertama, di Old Trafford, sememangnya kami tidak bermain dengan cukup baik.

"Kami akan kekal bersatu, tiada faedah jika ingin menuding jari tetapi perlu menilai semula persembahan kami."