Pulau Pinang akhirnya menamatkan badi kekalahan dalam saingan Liga Super apabila melakar keputusan seri 1-1 dengan Melaka United di laman sendiri, malam tadi.

Pada awal permainan, segalanya tampak tidak menjadi buat Pulau Pinang.

Biarpun jurulatih, Ashley Westwoods, kembali ke bangku simpanan selepas melalui penggantungan empat perlawanan, Pulau Pinang tetap bergelut di awal permainan.

Muhamad Khuzaimi Piee meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit kelapan sebelum Reinaldo Lobo menyamakan kedudukan dalam babak kedua, lantas memastikan kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan satu mata.

"Dalam tempoh 20 minit terakhir, pemain saya berpeluang menamatkan perlawanan dengan kemenangan, namun ketinggalan satu gol sebelum jaringan penyamaan menyukarkan kami. Tetapi kami mampu menamatkan aksi dengan keputusan lebih baik," ujar Westwood.

Sementara itu, pengendali Melaka United, Eric Williams, turut mengakui pihaknya bernasib baik, terutama dalam babak kedua.

"Saya tahu perlawanan ini sukar, ini kerana Pulau Pinang sudah tentu akan mencapai kemajuan. Mereka beraksi dengan baik dalam babak kedua.

"Secara jujur, mereka sepatutnya menang kerana dalam babak kedua kami gagal memburu gol kedua, Pulau Pinang terus memberi tekanan," katanya.