Kami mahu cipta sejarah - Aqil

Ammar Hakim
Oktober 17, 2016 19:24 MYT

Kapten T-Team, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri, mengharapkan rakan sepasukannya terus mengekalkan semangat juang tinggi untuk memburu kemenangan dalam saingan perlawanan akhir pertama menentang juara bertahan, Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam ini.

“Kami yakin mampu mencipta sejarah di sebalik penampilan pertama T-Team di pentas final Piala Presiden bertemu pasukan pilihan, Kelantan, malam ini.
“Kami hormati pasukan lawan (Kelantan) yang juga turun untuk mencari bekalan selesa di Kota Bharu sebelum mereka bertandang ke gelanggang kami pula. Kami akan lakukan yang terbaik untuk mencipta sejarah,” katanya.
Muhammad Aqil Irfanuddin berharap skuad Piala Presiden T-Team tidak mengikut jejak langkah skuad ‘abang’ dalam Piala Malaysia apabila tersingkir di peringkat separuh akhir kepada Selangor.
“Insya-Allah, kami sudah melakukan persiapan yang terbaik dan harap kami dapat tebus semula kegagalan skuad abang (Liga Super T-Team) kepada Selangor dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia.
“Saya sedar semua penyokong mahukan kemenangan dan kami akan berikan yang terbaik untuk membawa piala ini ke Terengganu,” katanya.
Ditanya mengenai fokus benteng pertahanan untuk merantai pergerakan penyerang sensasi Kelantan, Mohd Danial Ashraf Abdullah, daripada menjaringkan gol, Muhammad Aqil Irfanuddin menjelaskan bintang The President Warriors itu akan diberi perhatian istimewa supaya segala gerakannya mampu dipatahkan.
“Kami sedar keupayaan penyerang sensasi Kelantan itu (Mohd Danial Ashraf) dalam menghasilkan jaringan.
"Ketua Jurulatih, (Nafuzi Zain) sedar tentang itu dan benteng T-Team akan mengikut segala arahan yang telah diatur untuk menyekat segala ancaman yang bakal dilakukannya,” katanya.