PSG 4 BARCELONA 0
Sergio Busquets mengakui Barcelona tenggelam dalam segenap aspek apabila dibelasah Paris Saint-Germain (PSG) 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes, awal pagi tadi.



Anak buah Luis Enrique perlu mempamerkan kebangkitan luar biasa yang belum pernah dilakukan dalam sejarah Liga Juara-Juara, apabila kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan kedua di Camp Nou bulan depan.

Angel Di Maria meraikan hari jadinya yang ke-29 dengan bergaya, sementara Julian Draxler dand penggempur berbisa, Edinson Cavani, turut mencetak nama sebagai penjaring untuk membantu bekas pengurus Sevilla, Unai Emery, mengecapi kemenangan keduanya ke atas Barca secara peribadi dalam 24 percubaan.

"Mereka lebih bagus daripada kami," kata Busquets kepada UEFA.com.

"Mereka tampil lebih bagus secara taktikal dan fizikal."

Pemain tengah Sepanyol itu menolak tanggapan bahawa sikap sambil lewa telah memakan diri mereka dan sedar tugas menggunung sedang menanti dalam perlawanan timbal balik kelak.

"Ia bukan masalah sikap, ia adalah berkenaan hal bola sepak," katanya lagi.

"Taktikal PSG lebih ampuh.

"Kami berdepan tugas sukar di Nou Camp tapi kami akan mencuba. Kami sentiasa mencuba."