"Kami juga membawa nama Selangor."

Demikian ujar ketua jurulatih Selangor United, Abdul Talib Sulaiman, yang menagih sokongan daripada seluruh rakyat Selangor dalam penyertaan sulung Liga Perdana mereka musim ini.


Talib, yang merupakan bekas pemain Selangor era 90-an, mengakui teruja membawa cabaran pasukannya walaupun sekadar berstatus kelab.

Dia menjelaskan Selangor United ibarat pasukan adik kepada Selangor dan berharap mampu mendapatkan restu daripada peminat Gergasi Merah Kuning itu.

"Selangor United adalah sebuah kelab tetapi harus diingat, apabila kami membawa nama Selangor, ia berpegang kepada bendera negeri ini.

"Diharapkan penyokong menerima kami sebagai adik bongsu dan memberikan sokongan," katanya.

Mengenai persiapan pasukan, Selangor United mengesahkan mereka telah mendapatkan penyerang kelahiran Mesir, Islam Zaki.

Dua pemain berpengalaman, Abdul Hadi Yahya dan Rizal Fahmi Rosid, juga menjadi pilihan Talib untuk mengepalai pemain muda dalam pasukannya.

"Kami kekalkan 16 pemain yang beraksi dalam Piala FAM bagi musim 2018 dan dibawa ke musim ini. Rizal dan Hadi adalah pemain terakhir. Kedua-duanya sangat berpengalaman. Kami memerlukan pengalaman mereka beraksi dalam Liga Malaysia sebelum ini," tambahnya.