Sikap mudah hilang punca dijadikan faktor kekalahan 1-3 Kuala Lumpur kepada Terengganu FC (TFC) di Kuala Terengganu, malam tadi.

Pengendalinya, Chong Yee Fat, menyifatkan Kuala Lumpur beraksi baik sehingga pertengahan babak kedua dan berpeluang mengejutkan TFC ketika kedudukan terikat 1-1.

Namun, kelekaan ketika menghadapi sepakan sudut kapten TFC, Lee Tuck, pada minit ke-75 membawa padah dengan Muhammad Mohd Fauzi menjaringkan gol kedua TFC.

Yee Fatt berkata jaringan itu bagaikan membunuh perjuangan Kuala Lumpur sebelum TFC menjadikan kedudukan 3-1 menerusi Abdul Malik Mat Ariff (m-82).

"Inilah bola sepak. Sudah banyak kali kami bermain cukup baik tetapi keputusan tidak berpihak kepada Kuala Lumpur.

"Pemain-pemain cuba memberikan saingan, malangnya kami hilang fokus dan tidak konsisten," jelasnya.

Kekalahan itu, begitupun, belum menandakan skuad The City Boys akan mengibarkan bendera putih dalam misi kekal dalam Liga Super 2020 dengan berbaki empat perlawanan.

Yee Fatt yakin peluang masih terbuka walaupun lawan menanti selepas ini adalah Pahang, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak.

Selain tiga pasukan pilihan itu, Kuala Lumpur akan membuat perhitungan dengan Felda United yang turut mahu mengelak daripada penyingkiran, 10 Julai depan.

"Kami ada peluang lagi dalam empat perlawanan itu dan saya yakin pemain-pemain akan memberikan segala-galanya untuk kekal dalam Liga Super," katanya.