NAPOLI 1 REAL MADRID (Agregat 2-6)

Jurulatih Napoli, Maurizio Sarri, teruja menantikan masa depan pasukannya selepas "mendominasi Real Madrid selama 55 minit" ketika tewas 3-1 dalam aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Kelab dari Itali itu mempamerkan aksi berkualiti pada babak pertama perlawanan dan mendahului pada minit ke-24 dengan jaringan gol Dries Mertens.

Bagaimanapun, Real bangkit pada awal babak kedua dengan tandukan Sergio Ramos sebelum Mertens menjaringkan gol sendiri yang memberikan kelebihan buat Real.

Bekas penyerang Juventus, Alvaro Morata, melengkapkan kemenangan Real di penghujung perlawanan.

Walaupun tersingkir, Sarri melihat pasukannya memiliki potensi besar di masa akan datang.

"Kami dapat berasakan kami tidak terlalu jauh berbanding pasukan-pasukan gergasi Eropah, kami telah mendominasi perlawanan pada 55 minit yang pertama.

"Jika kami mampu mengembangkan permainan kami, saya yakin Napoli mampu mara lebih jauh pada musim akan datang.

"Saya memiliki skuad yang muda, memiliki masa depan yang cerah.

"Real Madrid adalah pasukan yang kuat, anda memerlukan tuah untuk berdepan mereka.

"Sukar untuk menghadapi cabaran daripada juara bertahan tetapi mendominasi permainan selama 55 minit memberikan kami harapan bagi saingan yang mendatang."

Kapten pasukan, Marek Hamsik, yang enggan membincangkan mengenai perkara negatif daripada perlawanan ini, menegaskan Napoli boleh berbangga dengan usaha yang dipamerkan bagi saingan UCL musim ini.

"Kami meninggalkan UCL dengan penuh rasa bangga, dalam separuh masa pertama, kami membuktikan kami mampu bersaing dengan pasukan terbaik di dunia.

"Kini tumpuan kami terarah kepada Serie A dan Coppa Italia."