Stefano Pioli memuji pasukannya, AC Milan, kerana menunjukkan keinginan yang sama untuk menewaskan Celtic, hanya beberapa hari selepas menundukkan seteru tradisi, Inter Milan, dalam perlawanan 'derby'.

Kemenangan 3-1 ke atas juara Scotland itu dalam Liga Europa awal pagi tadi menyaksikan Milan membuka kempen Kumpulan H itu dengan bergaya.

Ia hanya berselang lima hari selepas mereka menewaskan Inter 2-1 dalam Serie A dan perkara itu jelas memberikan kegembiraan beuat ketua jurulatih, Pioli.

Gol daripada Rade Krunic, Brahim Diaz dan pemain gantian, Jeans Hauge, sudah cukup untuk mereka menumbangkan skuad kendalian Neil Lennon itu di Parkhead.

Pioli berkata: "Kami mengawal permainan dengan baik walaupun dalam babak kedua kami agak kekurangan daripada segi teknikal dan mengambil sedikit risiko.

"Adalah amat penting untuk menunjukkan bahawa kami bukanlah pasukan biasa yang kurang keinginan selepas meraih kemenangan paling diinginkan dalam pertemuan derby.

"Rahsianya? Kami bekerja dalam satu haluan, kelab, pegawai teknikal, pemain kesemuanya berasa terlibat," katanya.


Bercakap kepada syarikat penyiaran Itali, Sky Sport, Pioli menambah: "Rahsianya terdiri daripada usaha, pengorbanan dan keinginan untuk meningkat."

Milan akan meneruskan saingan Serie A dengan menentang AS Roma, Isnin ini.

Skuad kendalian Pioli itu kini memenangi empat perlawanan pertama untuk mendahului kedudukan liga dan tidak pernah tewas dalam 21 perlawanan dalam kesemua kejohanan.