Jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim, menanti tarikh 3 Oktober depan sebagai hari penentuan berhubung pengesahan perletakan jawatannya tempoh hari.

Irfan bakal bertemu wakil pengurusan pada tarikh itu bagi membincangkan dengan lebih teliti hasratnya untuk meninggalkan Felda United bermula musim depan selepas menganggap dirinya gagal memenuhi impian pasukan untuk sekurang-kurangnya meraih satu piala musim ini.

Irfan turut menafikan dia berjauh hati disebabkan isu lain.

Tidak mahu memanjangkan lagi isu ini, beliau menegaskan 3 Oktober nanti menjadi penentu statusnya sama ada kekal bersama The Fighters atau sebaliknya untuk musim hadapan.

"Jurulatih datang dan pergi, ini perkara biasa dalam bola sepak.

"Kita harus rasional untuk menerima benda-benda ini. Bagi saya, ini merupakan asam garam sebagai seorang jurulatih dan kita perlu terima," jawab Irfan ringkas.

Sementara itu, penolong jurulatih, Mohammad Nik, menganggap Irfan telah membuat keputusan drastik dan mengharapkan tempoh rehat selama seminggu mampu menukar fikiran jurulatih kelahiran Perak itu.

"Saya orang yang paling rapat dengan dia. Saya rasa dia ambil keputusan yang drastik sebagai seorang yang budiman," katanya.

Daripada jawapan kapten pasukan, Shukor Adan, dia memberi isyarat bahawa kehadiran Irfan Bakti cukup penting dalam kem pasukan Felda United.

"Pemain-pemain memberi penghargaan yang amat baik kepada Irfan yang selama ini banyak berkorban.

"Kami anggap Irfan dalam pasukan Felda ini sebagai ayah," kata pemain pertahanan itu.