Perak FC memohon maaf kepada penyokong dan peminat The Bos Gaurus susulan kegagalan untuk kekal bersaing dalam kancah bola sepak Liga Super musim hadapan.

Pengurus Besar Perak, Azman Noh berkata, pihaknya turut kecewa dengan apa yang telah berlaku sempena sambutan 100 tahun pasukan itu tahun ini.

"Peristiwa yang terpahat dalam sejarah Perak FC ini membawa 1,001 makna kepada pasukan, paling mustahak ia merupakan satu pengajaran paling bermakna untuk kita bangkit," katanya melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Perak FC, hari ini.

Jumaat lepas, skuad bimbingan Mohd Shahril Nizam Khalil itu sah tersingkir ke Liga Perdana selepas tumpas 1-2 kepada Melaka United dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Kekalahan itu juga menyaksikan The Bos Gaurus kini berada di kedudukan kedua tercorot daripada 12 pasukan yang bertanding dengan mengumpul 13 mata hasil tiga kemenangan, empat seri dan 14 kekalahan.

Azman berjanji Perak FC akan bangkit selain meletakkan sasaran untuk muncul juara Liga Premier sekali gus kembali bersaing dalam kancah Liga Super pada musim berikutnya.

Katanya, proses penswastaan sepenuhnya juga akan dilakukan oleh Perak FC bagi membentangkan hala tuju pasukan dengan terperinci untuk jangka masa pendek serta panjang, dalam masa terdekat.

"Ayuh kita sama-sama bangkit dengan lebih bergaya kerana ini bukan pengakhiran bagi Perak FC sebaliknya permulaan untuk sesuatu yang lebih hebat, katanya.