Di sebalik keadaan huru-hara yang melanda Liga Perdana Inggeris akibat varian Omicron virus COVID-19, Manchester United nampaknya sudah pun merancang masa depan kelab daripada aspek barisan pemain mereka.

Pemain muda Perancis, Boubacar Kamara, yang memainkan peranan pemain tengah bertahan untuk kelab Marseille, merupakan sasaran utama United dalam jendela perpindahan musim panas yang akan datang.

Menurut akhbar The Sun, biarpun Kamara menarik perhatian banyak kelab lain, United adalah pilihan utama untuk mendapatkan tandatangannya.

Malah, rundingan di antara kelab dan pemain sudah pun memasuki peringkat lanjutan dan pengumuman tentang pembeliannya mungkin dilakukan secara rasmi seawal bulan depan.

Kehadiran Kamara merupakan satu penambahan penting untuk pengurus baru United, Ralf Rangnick, menerapkan formasi 4-2-2-2 yang menjadi pilihannya daripada segi strategi.

Menerusi formasi ini, Kamara akan bergandingan dengan Fred atau Scott McTominay di bahagian tengah bertahan, manakala Bruno Fernandes dan Jadon Sancho akan bermain di hadapan mereka.

Persembahan Kamara yang membantu Marseille untuk mencatatkan sembilan perlawanan tanpa bolos setakat ini, ditambah pula dengan usianya yang muda dan potensi untuk terus berkembang maju, dipercayai mampu menghadirkan kestabilan buat barisan tengah United yang telah lama dikenal pasti sebagai satu kawasan bermasalah.

Daripada aspek serangan pula, United dilaporkan bersedia untuk mengekalkan khidmat dua penyerang, Edinson Cavani dan Jesse Lingard.

Menurut laporan akhbar The Mirror, United telah pun menawarkan kontrak selama 18 bulan untuk Cavani yang bernilai £3 juta (RM16.7 juta).

Nasib Cavani dilihat kurang baik sepanjang musim ini apabila dia hanya mampu dipilih sebagai pemain kesebelasan utama sebanyak tiga kali akibat masalah kecederaan tendon dan juga gara-gara kepulangan Cristiano Ronaldo sebagai penyerang pilihan utama.

Biarpun dia dilaporkan telah menarik minat Barcelona untuk dijadikan pengganti Sergio Aguero yang terpaksa bersara awal musim ini, Cavani nampaknya memilih untuk kekal bersama United setelah ketibaan Rangnick menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus.

"Bagi saya, antara perkara paling penting dalam bola sepak adalah untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada satu demi satu perlawanan yang akan dihadapi.

"Saya kurang gemar untuk memikirkan di mana saya akan berada musim depan, saya juga tidak suka membuat perancangan atau matlamat jangka panjang apabila melibatkan aspek bola speak," ujar Cavani kepada pihak media United.

Seorang lagi penyerang, Lingard, dilaporkan telah membuat keputusan untuk kekal bersama United dan rela merebut tempat dalam kesebelasan utama biarpun dia dikhabarkan berminat untuk kembali berhijrah ke West Ham United sebelum ini.

Menurut laporan akhbar The Daily Mail, punca perubahan keputusan Lingard adalah serupa dengan Cavani, iaitu kehadiran Rangnick.

Sistem baru Rangnick yang mementingkan aspek intensiti tinggi bersesuaian dengan usia Lingard yang masih muda, dan dia melihat adanya harapan untuk United berkembang maju dengan sistem itu.

Peluang untuk beraksi dalam barisan England sewaktu Piala Dunia 2022 di Qatar juga dilaporkan merupakan faktor penting dalam keputusan Lingard untuk kekal.

Sejak pelantikan Rangnick sebagai pengurus awal bulan ini, United sememangnya dilihat sudah menunjukkan kemajuan, namun ia masih belum mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.

Pandemik yang melanda nampaknya merencatkan sedikit perancangan mereka, namun berita tentang kepercayaan pemain terhadap pengurus mereka semestinya sesuatu yang cukup positif.