Kalendar bola sepak tempatan akan dirombak bagi memastikan skuad bola sepak kebangsaan (Harimau Malaya) mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 akhir tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak lama lagi bagi memastikan semua pertandingan termasuk Liga Super, Liga Perdana dan Piala Malaysia dapat diselesaikan dalam masa yang ditetapkan.

"Saya tahu ramai yang meluahkan kebimbangan sama ada pasukan kebangsaan akan mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF.
"Oleh itu, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua pertandingan yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu dapat diselesaikan sebelum November depan.

"Kami masih menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memulakan semula Liga Malaysia pada September ini dan semoga dapat diadakan lebih awal untuk memberi masa yang cukup kepada Tan Cheng Hoe bagi menyiapkan skuad terbaiknya dalam pertandingan itu," katanya.

Baru-baru ini, jurucakap Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) memaklumkan bahawa badan itu akan meneruskan kejohanan dwitahunan berkenaan walaupun berdepan ancaman pandemik Covid-19 selepas mendapat maklum balas daripada semua anggota gabungannya.

Sementara itu, Stuart berkata pemain muda yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal, tidak dapat mengikuti kem latihan pusat skuad B-18 kebangsaan tidak lama lagi disebabkan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19 yang masih dilaksanakan.

Bagaimanapun, FAM akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu skuad bimbingan Brad Maloney itu mendapatkan khidmat Wan Kuzri bagi menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan pada Oktober depan selepas kerajaan menarik balik sekatan itu.

Kehadiran Wan Kuzri -- adik kepada pemain kebangsaan, Wan Kuzain yang bermain untuk Sporting Kansas City dalam Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat -- diharapkan dapat meningkatkan peluang skuad B-18 negara layak ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.

Sebelum ini, pengurus pasukan skuad B-18 kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, dipetik sebagai berkata, Wan Kuzri telah menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi kebangsaan.

Kejohanan AFC B-19 adalah kelayakan untuk Piala Dunia B-20 2021 di dan skuad B-18 kebangsaan berharap dapat menjadi pasukan pertama Malaysia yang layak secara merit dan tampil di pentas dunia.

-- BERNAMA