Javier Tebas menyatakan tidak akan ada rundingan untuk membentuk Liga Super Eropah walaupun ada kelab terbesar LaLiga yang masih menyokong idea penganjurannya.

Real Madrid dan Barcelona bersama 10 kelab Eropah lain, termasuk juara LaLiga, Atletico Madrid, pada April lalu mengumumkan hasrat untuk membentuk liga baru.

Projek itu segera dipadamkan dengan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), kerajaan di Eropah, kelab dan peminat turut mengecam cadangan berkenaan.

Di bawah tekanan hebat, enam kelab Liga Perdana Inggeris yang terlibat iaitu Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham segera menarik balik keinginan mereka itu sebelum dituruti Atleti, Inter dan Milan.

Namun, Madrid dan Barca di samping Juventus, tetap berminat meneruskan projek itu sambil Presiden Los Blancos, Florentino Perez, menegaskan bola sepak Eropah memerlukan Liga Super.

Usaha UEFA untuk menghukum kelab terbabit berakhir, dengan badan induk bola sepak benua itu tidak meneruskan proses undang-undang terhadap isu terbabit.

Walaupun projek itu masih berlegar, Presiden LaLiga, Tebas, menegaskan ia tidak boleh berlaku dan yakin ideanya sudah lapuk.

"Pembentukan Liga Super sama sekali tidak boleh dirunding," katanya kepada rancangan radio Sepanyol, El Partidazo.

"Bukan kelab besar yang akan terus menguasai bola sepak kebangsaan dan antarabangsa semata-mata. Ini bukan masa depan. Langkah apa pun yang diberikan ia hanyalah didorong oleh keinginan pemiliknya.

"Saya tidak akan membenarkan sebarang peluang untuk Liga Super dianjurkan sama sekali. Di England mereka menyedari kesilapan tindakan mereka itu. Di Jerman lebih kurang sama. Liga Super adalah adalah isu basi."



Tebas juga mendedahkan hubungannya dengan Presiden Madrid, Perez, apabila yakin dia satu-satunya pihak yang beria-ria dengan cadangan Liga Super itu.

"Saya sudah lama tidak mengikuti perlawanan secara langsung," tambahnya.

"Mengapa saya tidak berkunjung ke Bernabeu? Florentino sempat mengundang saya dalam semua perlawanan di Bernabeu.

"Berdamai dengan Florentino? Saya tidak pasti. Daripada perspektif bola sepak profesional, tidak mungkin kami akan saling memahami disebabkan pandangan kami yang sangat berbeza.

"Satu-satunya yang yakin akan penganjuran Liga Super adalah Florentino. Tetapi tidak lagi (Presiden Barca, Joan) Laporta dan (rakan sejawatnya di Juve, Andrea) Agnelli.

"Saya percaya jika boleh, Florentino mahu menyingkirkan saya sebagai presiden liga. Dalam politik institusi, Madrid telah melakukan kesilapan dan mereka membuat ramai musuh."