"Jika kami beli (Kylian) Mbappe, siapa yang perlu keluar?" demikian persoalan diajukan Presiden Real Madrid, Florentino Perez.

Madrid telah dikaitkan dengan pemain berusia 18 tahun itu, yang telah meledak 26 gol dalam kesemua kejohanan musim lalu.

Perez membandingkan situasi pemain itu dengan apa yang berlaku kepada Paul Pogba awal musim lalu, dengan pemain tengah itu akhirnya berhijrah ke Manchester United.

"Kami tidak boleh lupakan apa yang berlaku terhadap Pogba. Mereka (penyokong) juga berkata bahawa kami perlu mendapatkan khidmatnnya," Perez bercakap kepada esRadio, semalam.

"Tetapi kita tidak boleh lupa bahawa hanya 24 pemain yang akan memenuhi sebuah skuad, dengan 11 pemain yang akan beraksi di atas padang. Buat masa ini, kami telah pun memiliki skuad terbaik dunia."

Perez menambah: "Zinedine Zidane telah mengikuti perkembangan Mbappe buat beberapa tahun ini, seperti mana yang dia lakukan terhadap Raphael Varane.

"Tetapi pada usia 18 tahun, tidak ramai yang beraksi untuk Real Madrid. Jadi, kami perlu bersabar, jika kami mendapatkan khidmat Mbappe, siapa yang perlu dikeluarkan?"

Selain Real Madrid, Mbappe turut dikaitkan dengan beberapa kelab lain, antaranya Liverpool yang telah pun menawarkan GBP88 juta (RM483 juta) namun ditolak AS Monaco.