Kapten Orlando City, Kaka, 34, akan diketepikan selama enam minggu kerana kecederaan hamstring yang dialami dalam aksi pembukaan Liga Bola Sepak Utama (MLS), semalam.

Bekas penyerang AC Milan dan Real Madrid itu mengalami kecederaan hamstring pada kaki kiri dalam kemenangan 1-0 ke atas New York City dan dikeluarkan dari padang pada minit ke-11.

Kaka -- pemenang Ballon d'Or 2007 dan veteran Brazil -- mengadu kesakitan pada minit kelapan dan cuba untuk terus bermain sebelum digantikan pemain baru, Giles Barnes, sementara Cyle Larin memastikan Orlando meraikan kemenangan di stadium baru mereka, Stadium Orlando City.

"Saya amat kecewa kerana (Kaka). Dia bekerja keras pada luar musim dan dalam pra-musim ini," kata ketua jurulatih Orlando, Jason Kreis, kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

"Saya rasa semua boleh melihat tenaga yang dia letakkan sepanjang 11 minit perlawanan. Saya fikir ini akan menjadi malam yang istimewa untuknya. Amat kecewa baginya tetapi pasukan mara, dan itu adalah satu perkara yang positif."

Kaka menjaringkan sembilan gol dan banyak melakukan bantuan gol, sementara Orlando terlepas aksi play-off dengan satu mata musim lalu.