Kaka berkata masih terlalu awal untuk mengadili pengurus AC Milan, Marco Giampaolo, sambil meramalkan bekas pasukannya itu akan menonjolkan satu persembahan bertenaga apabila berhitung dengan Inter, awal pagi Ahad ini.

Giampaolo direkrut daripada Sampdoria pada musim panas lalu apabila menunjukkan peningkatan yang tekal di San Siro biarpun tidaklah begitu cemerlang.

Milan gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dalam kekalahan 0-1 kepada Udinese dalam aksi pembukaan Serie A awal musim ini sebelum bangkit dengan kemenangan 1-0 ke atas Brescia dan Hellas Verona.

Ujian seterusnya buat pengurus itu ialah pertembungan dengan pendahulu liga, Inter.

Justeru, Kaka, yang pernah menghabiskan tempoh karier selama dua kali dengan Milan, memberi penekanan betapa pentingnya tiga mata menjelang aksi 'Derby della Madonnina' yang pertama musim ini.

"Saya fikir 'derby' Milan itu amat penting kerana ia adalah pertembungan pertama musim ini," katanya kepada Omnisport. "Kami bermain di tempat sendiri dan ia akan menjadi sesuatu yang bagus untuk melihat Milan memenangi aksi 'derby' ini.

"Inter telah memulakan musim ini dengan baik tetapi pada pandangan saya, Milan akan menang. Ia akan menjadi dorongan yang baik untuk mereka berpeluang memenangi Scudetto. Jika mereka mahu memenangi liga, adalah penting untuk memenangi perlawanan ini."

Milan beralih arah kepada Giampaolo ekoran kegagalan meraih kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

"Setakat ini, saya fikir beliau berjaya, beliau telah bertindak dengan baik," kata bekas bintang Brazil itu.

"Tidak silap saya, ini hanyalah perlawanan ketiga yang dikendalikannya.

"Apa yang beliau lakukan adalah bagus. Kita akan lihat kelak.

"Sebagai penyokong Milan, saya berharap Milan akan dapat memenangi sesuatu pada tahun ini atau sekurang-kurangnya kembali ke UCL."