Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berharap kerajaan negeri membuat keputusan segera terhadap cadangan penswastaan The Red Warriors (TRW) selewat-lewatnya 5 Januari ini demi kepentingan bersama.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata keinginan kerajaan negeri sebagaimana yang disuarakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob, dalam pertemuan rasmi bersama KAFA kelmarin perlu diputuskan segera memandangkan kaedah penswastaan tidak terlepas dengan peraturan-peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Hajat kerajaan negeri untuk melaksanakan proses penswastaan pasukan perlu disegerakan kerana KAFA perlu menyelesaikan beberapa elemen teknikal dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Jadi, kami perlu memberi garis panduan dan tarikh tamat tempoh kepada mereka.

“Harus diingat, pendaftaran pemain perlu dibuat Jumaat ini (6 Januari) bagi membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pertama menentang Melaka United di Kota Bharu pada 21 Januari.

"KAFA juga ingin menandatangani kontrak dengan tiga pemain import baharu dan pemain tempatan yang berminat menyarung jersi TRW. Sebarang kelewatan akan menyebabkan kami (KAFA) dipersalahkan,” katanya dalam sidang media di Wisma KAFA, petang tadi.

Ismail juga mengingatkan kerajaan negeri bahawa isu penswastaan bukanlah isu yang boleh dipandang mudah dan pihak terbabit perlu berbincang bersama demi bola sepak Kelantan.

“Kami ingin ingatkan kerajaan negeri bahawa kaedah penswastaan ini tidak boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya. Perjanjian rasmi di antara KAFA dan pihak terbabit mesti dimeteraikan berlandaskan konsep ingin memastikan kejayaan dan pembangunan berterusan bola sepak negeri Kelantan,” katanya.

Ditanya mengenai permohonan KAFA terhadap isu hutang levi stadium, Ismail menjelaskan kerajaan negeri masih belum meluluskan permohonan mereka, termasuklah rayuan mendapatkan geran kecemasan berjumlah RM3 juta.

“Tentang isu hutang levi stadium, kami memohon supaya hutang tahun lepas, tahun ini dan tahun berikutnya dilupuskan, sesuai dengan komitmen kerajaan negeri yang mahu meringankan beban kewangan KAFA.

“Kami juga berharap permohonan mendapatkan geran kecemasan RM 3 juta diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan negeri."