Thomas Tuchel menerima keputusan pengadil, Anthony Taylor, untuk mengarah Reece James keluar padang ketika seri 1-1 Chelsea dengan Liverpool, tetapi mengatakan ia merosakkan kerancakkan baki perlawanan di Anfield.

Chelsea mendahului Liverpool dalam perlawanan awal pagi tadi menerusi tandukan Kai Havertz ketika ia telah diganggu dengan kontroversi.

Taylor melihat semula insiden yang berlaku menerusi VAR selepas rembatan Sadio Mane dihalang James menggunakan tangan.

Penalti diberikan dan ia disempurnakan Mohamed Salah dalam masa kecederaan separuh masa pertama, namun pemain Chelsea berang di sebalik kad merah yang dilayangkan kepada James.



Skuad kendalian Tuchel berjaya bertahan dengan 10 pemain, namun jurulatih Jerman itu berasakan perlawanan itu dicemari dengan insiden kad merah itu.

"Kad merah -- saya sendiri sudah tidak tahu jika ia adalah peraturan atau sebaliknya," katanya.

"Anda harus menerima keputusan ini, tetapi pengadil itu mungkin boleh mengubah pandangannya selepas melihat ulang tayang.

"Saya tidak suka dengan kad merah yang awal diberikan kerana ia merosakkan perlawanan. Pada akhirnya, ia adalah perlawanan yang sukar dan sengit. Kami menunjukkan kemampuan untuk bertahan dan berhak meraih satu mata."