PARMA 1 MILAN 3


Pengarah Teknikal Milan, Paolo Maldini, mendedahkan Zlatan Ibrahimovic begitu hampir untuk menandatangani kontrak baru sementara Gianluigi Donnarumma dinasihati agar terus kekal di kelab itu oleh pengurus, Stefano Pioli.


Ibrahimovic membantu 'kelahiran semula' Milan sejak kembali ke San Siro pada Januari 2020 dengan perjanjian enam bulan yang kemudian dilanjutkan setahun lagi menjelang kempen 2020-21.

Pemain berusia 39 tahun itu akan menjadi ejen percuma sebaik perjanjian terbarunya tamat pada hujung Jun depan.

Laporan di Itali mendedahkan penyerang veteran itu bersikap terbuka untuk kekal di Milan selama setahun lagi.

"Hanya ada sedikit butiran lagi dan kami sangat hampir untuk memperbaharui kontraknya," katanya kepada Sky Sport Italia.

Ibrahimovic merakamkan 25 gol dalam 35 penampilan Serie A sejak awal 2020 -- hanya Cristiano Ronaldo (46), Ciro Immobile (33), Romelu Lukaku (32) dan Luis Muriel (26) lebih kerap menjaringkan gol sepanjang tempoh ini.




Bekas bintang Manchester United itu mencatat bantuan gol ketujuh liga apabila kembali dipertaruhkan dalam kemenangan 3-1 ke atas Parma, awal pagi tadi, walaupun dia dibuang padang kerana bantahan terhadap pengadil -- kad merah keenamnya dalam karier Serie A.

Ia secara tidak langsung merosakkan malam istimewa buat Ibrahimovic, yang merakamkan kemenangan ke-300 kariernya dalam lima utama Eropah -- 170 daripadanya dilakukan dalam Serie A -- yang membuatkan rakan sepasukannya terpaksa bertungkus lumus di Estadio Ennio Tardini.

Gianluigi Donnarumma menyelamatkan empat peluang Parma termasuk percubaan deras mengagumkan ketika mematahkan percubaan Andrea Conti dan Graziano Pelle pada awal babak kedua.

Tonggak antarabangsa Itali itu turut berpotensi meninggalkan San Siro sebagai ejen percuma dalam beberapa bulan lagi tetapi Pioli berharap masa depan penjaga gol utama kelab tersebut tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Saya akan menasihati Gigio supaya kekal di Milan kerana ia adalah kelab gergasi dan kami sedang membangunkan sesuatu di sini," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Saya perlu persiapkan pemain saya sebagai pejuang yang belum menang, tetapi mereka berlatih untuk memenangi piala."