Matthijs de Ligt perlu dibenarkan untuk meninggalkan Juventus jika mendapat tawaran yang setimpal, kata bekas legenda kelab itu, Ciro Ferrara.

Pemain kebangsaan Belanda itu hanya mempunyai baki kontrak di Stadium Allianz sehingga June 2024 tetapi masih belum bersetuju untuk memanjangkan tempoh berkenaan bersama Bianconeri.

Chelsea dilaporkan berminat untuk menandatangani pemain berusia 22 tahun itu, yang mempunyai klausa pelepasan bernilai €125 juta (RM578.51 juta).

De Ligt merupakan pemain utama di bahagian pertahanan tengah Juve sejak tiba daripada Ajax dengan tanda harga €85.5 juta (RM395.70 juta) pada 2019.

Pemain kental itu melakukan 117 penampilan dalam kesemua kejohanan, menjaringkan lapan gol dan memenangi gelaran Serie A dalam musim pertamanya bersama The Old Lady.

Ferrara, yang memenangi lima Scudetto dan satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Juve dari 1994 hingga 2005, mengakui kepentingan De Ligt buat pasukan itu tetapi menegaskan mereka tidak boleh menghalang perpindahannya.

Bekas pertahanan itu berkata kepada Tutti Convocati: "Kita perlu faham bahawa De Ligt mempunyai motivasi yang betul.

"Dia merupakan watak penting di bahagian pertahanan tetapi jika dia mahu pergi, Juve tidak akan dapat menghalangnya daripada keinginan itu," katanya.