Alex Sandro sah dilanda kecederaan paha apabila pemain pertahanan itu dilepaskan daripada tugas antarabangsa bersama Brazil.

Pertahanan kiri Juventus itu terpaksa meninggalkan kem latihan Selecao menjelang pertemuan dengan Russia dan Jerman selepas disahkan mengalami masalah paha.

"Setelah kembali dari kem latihan pasukan kebangsaan Brazil, Alex Sandro menjalani pemeriksaan lanjut dan disahkan tercedera," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"Dia mempunyai masalah otot paha kanan dan akan memulakan fisioterapi pada hari ini."

Tiada tempoh bilakah Alex Sandro akan kembali, dengan Juve bakal berdepan AC Milan pada 31 Mac nanti.

Apatah lagi, gergasi Serie A itu bakal berhitung dengan Real Madrid dalam suku akhir Liga Juara-Juara pada awal April.

Semalam, Juventus mengesahkan kecederaan memaksa Giorgio Chiellini untuk menarik diri daripada tugasan antarabangsa dengan Itali, namun situasinya tidak serius.