Leonardo Bonucci dan Merih Demiral didapati positif dalam ujian koronavirus, demikian disahkan kelab gergasi Serie A, Juventus.

Bonucci, 33, kembali daripada tugasan antarabangsa bersama Itali semalam, sehari selepas Persatuan Bolasepak Itali mendedahkan bahawa empat pegawai mereka didapati positif virus berkenaan.

Dia kini akan memulakan tempoh pengasingan kendirinya selama 10 hari dan akan terlepas perlawanan menentang Torino, Napoli dan Genoa.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Juventus berkata: "Leonardo Bonucci, selepas kembali daripada tugasan bersama skuad kebangsaan Itali, telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan didapati positif.

"Pemain itu sudahpun diletakkan dalam pengasingan kendiri."

Terdahulu, Juventus turut mengesahkan bahawa seorang lagi pemain pertahanan, Demiral, turut diuji positif ketika menjalani tugasan antarabangsa bersama Turki pada 26 Mac lalu.