Juventus pulang dari Stamford Bridge dengan keperitan

Shaiful Shamsudin
November 24, 2021 01:01 MYT
CHELSEA 4 JUVENTUS 0
Wojciech Szczesny menyifatkan prestasi Juventus dalam kekalahan 0-4 Liga Juara-Juara (UCL) di tangan juara bertahan, Chelsea, sebagai tidak boleh diterima.
Chelsea mara ke pusingan 16 selain memintas Juve -- yang sudah layak -- di puncak Kumpulan H apabila menumbangkan pasukan bimbingan Massimiliano Allegri itu dengan penuh bergaya di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Trevoh Chalobah membuka tirai jaringan dalam separuh masa pertama menerusi gol kontroversi berikutan bola dikatakan terkena tangan Antonio Rudiger di dalam kotak penalti terlebih dahulu.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tampil lebih garang selepas rehat yang menyaksikan jaringan Reece James, Callum Hudson-Odoi dan Timo Werner menghadiahkan Bianconeri kekalahan terburuk dalam UCL.
Juve tidak pernah tewas dengan dibolosi empat gol dalam mana-mana kejohanan sejak terkulai 0-4 di tangan seteru Serie A, Roma, pada Februari 2004.
Ia adalah malam yang sibuk bagi penjaga gol Juve itu yang menegaskan gergasi Turin berkenaan tidak boleh terus dihantui episod malam yang menyakitkan di London itu.
"Kami tidak beraksi baik dan pasif, ia adalah satu kekalahan yang sukar untuk dijelaskan, tidak boleh diterima tetapi kami perlu melupakannya dan teruskan perjuangan. Kami akan menghadapi perlawanan yang sukar menentang Atalanta Sabtu (Ahad ini)," katanya kepada Mediaset.
"Adalah sangat penting untuk bangkit segera jadi kami mempunyai peluang untuk bertindak balas. Selepas malam ini, akan timbul banyak kritikan yang sewajarnya dan selepas ini kami perlu bertindak balas di atas padang.
"Kami nampak perbezaan yang jelas di antara kami dan Chelsea. Kami bermain dengan sangat baik dalam perlawanan pertama (menentang Chelsea), tetapi hari ini kami bermain di bawah keupayaan sebenar kami, mereka berada di tahap tersendiri dan kami dapat melihat perbezaannya."

4 - Juventus have lost a game with a margin of 4+ goals considering all competitions for their first time since February 2004, against AS Roma in Serie A (0-4). KO.#ChelseaJuve pic.twitter.com/swqPehjyvp

— OptaPaolo ? (@OptaPaolo) November 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Leonardo Bonucci pula berkata Juve perlu belajar daripada kekalahan itu berikutan anak buah Thomas Tuchel sedang dalam prestasi mantap.
"Sudah tentu ini adalah kekalahan yang teruk, kami perlu mengambil pengajaran bahawa apabila menentang pasukan ini, kami mesti sentiasa pergi dengan kelajuan 1,000 kilometer sejam kerana apabila anda memperlahankannya, mereka menghukum anda," kata kapten itu kepada Sky Sport Italia dan Mediaset Sukan.
“Adalah penting kami mengutip pengajaran daripada perlawanan ini iaitu apabila menentang pasukan sebegini, anda tidak boleh melonggarkan keamatan atau tumpuan walaupun hanya seketika.
"Kami melepaskan gol pertama daripada sepakan sudut walaupun bola mungkin terkena tangan pemain lawan. Kami sepatutnya mengawalnya dengan lebih baik dalam separuh masa kedua kerana ia mencetuskan banyak masalah kepada kami."
#Chelsea #Juventus #UCL #Liga Juara-Juara