Douglas Costa tampaknya sudah pun beraksi dalam perlawanan terakhirnya untuk Juventus selepas bersetuju dengan perpindahan pinjaman selama setahun ke Gremio.

Pemain sayap itu memiliki kontrak di Juventus hingga akhir musim 2021-22 tetapi dia memilih untuk kembali ke Brazil bersama kelab pertama dalam kariernya.

Pemain berumur 30 itu memulakan saingan musim ini di Bianconneri sebelum beralih ke bekas kelabnya, Bayern Munich, pada Oktober lalu dan menghabiskan sisa kempen bersama gergasi Bundesliga berkenaan.

Begitupun, dia kerap dibayangi kecederaan dan pinjamannya di jaduh Jerman itu berakhir secara rasmi semalam.



Bekas pemain antarabangsa Brazil itu memutuskan untuk kembali ke tanah airnya selepas 11 tahun setengah di Eropah -- sejak dipancing Shakhtar Donetsk daripada Gremio pada Januari 2010.

Juventus mengumumkan di laman sesawang mereka: "Douglas Costa telah menandatangani kontrak rasmi bersama Gremio secara pinjaman daripada Juventus.

"Dia, yang bergabung dengan Juventus pada 2017 dan menghabiskan musim lalu dengan pinjaman di Bayern Munich, akan menyarung jersi di Porto Alegre ini hingga 30 Jun 2022."

Costa memenangi kejuaraan liga hampir setiap musim di Eropah.

Dia membantu Shakhtar memenangi gelaran Ukraine dari 2010 hingga 2014 sebelum impian mereka disekat Dynamo Kiev pada 2015, disusuli menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2016, 2017 dan 2021 bersama Bayern, manakala Serie A pula pada 2018, 2019 dan 2020 di samping Juventus.