Paulo Dybala bakal terlepas pertemuan Serie A di antara Juventus dengan Roma selain dalam keraguan untuk berdepan juara bertahan, Inter, hujung minggu depan.

Kecederaan paha telah menyisihkan Dybala sejak kemenangan 3-2 ke atas Sampdoria pada 26 September lalu meskipun dia tetap dipanggil untuk skuad Argentina.

Pemain berusia 27 tahun itu kemudian tidak perlu menyertai skuad kebangsaan selepas dinilai oleh Argentina sebelum dijangka akan cergas untuk melayani kunjungan Roma ke Stadium Allianz awal pagi esok.

Bagaimanapun, pengurus, Juve Massimiliano Allegri, menegaskan ia tidak akan berlaku sambil menjelaskan bahawa Dybala belum tentu dapat dipertaruhkan untuk 'Derby d'Italia' menentang Inter di San Siro.

"Sudah seminggu saya terbaca bahawa mungkin Dybala akan bermain menentang Roma atau perlawanan seterusnya. Saya rasa dia akan bersedia dalam tempoh seminggu atau paling lama 10 hari lagi," kata Allegri dalam sidang akhbar.

"Tiada masalah dengan pemulihannya, ia masih mengikut jadual. Dia mungkin memerlukan sedikit hari lagi, perkara-perkara ini terjadi.

"Kecederaan otot memerlukan sedikit masa. Ia selalu bergantung kepada keadaan."





Roma empat mata di depan seteru mereka itu selepas tujuh perlawanan musim ini dan Juve sudah pasti akan turun untuk mengelak menempa kekalahan ke-10 Serie tahun ini -- sesuatu yang belum pernah terjadi sejak 2012.

Perlawanan itu akan menyaksikan Jose Mourinho akan mengemudikan skuadnya di Stadium Allianz buat pertama kalinya sejak November 2018, iaitu ketika dia meraikan kemenangan Manchester United ke atas Juventus.

Allegri sekadar mencatat tujuh kemenangan daripada 20 perlawanan Serie A sepanjang menentang Roma sebagai pengurus -- pencapaian kemenangan 35 peratus yang terburuk berbanding mana-mana pasukan yang dihadapinya sekurang-kurangnya tiga kali.

"Mourinho adalah seorang pengurus yang banyak mengecapi kemenangan dan saya sangat menghormatinya," katanya lagi.

"Ini adalah sebahagian daripada perwatakannya apabila sesekali melakukan sesuatu seperti yang dilakukannya dengan Manchester United beberapa tahun lalu.

"Untuk memiliki seorang lagi pengurus hebat di Itali menggembirakan saya."