MALMO 0 JUVENTUS 3

Massimiliano Allegri mengakui wujud tekanan hebat terhadap Juventus untuk menghadapi perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) sambil menyatakan kelegaan selepas melepasi rintangan Malmo 3-0, awal pagi tadi.


Juve ketandusan kemenangan dalam tiga perlawanan pertama Serie A sebelum melakar kejayaan keenam berturut-turut di peringkat kumpulan ketika meneruskan aksi tanpa kalah itu menentang pencabar dari Sweden di pentas Eropah.

Alvaro Morata dan Paulo Dybala masing-masing menemui sentuhan penyudah ketika pelawat memulakan UCL itu dengan kemenangan dengan tiga gol buat kedua kalinya bagi mengulangi pencapaian menentang Feyenoord pada 1997-98.

Justeru, Allegri, yang kembali ke bidang pengurusan buat pertama kalinya sejak April 2019, berasa lega selepas berdepan tekanan hebat ekoran permulaan yang buruk musim ini.

"Apabila beraksi dalam UCL, ketegangan sentiasa wujud dalam perlawanan terutama ketika beraksi di kandang lawan," kata Allegri kepada Sport Mediaset.

"Sememangnya ada sedikit tekanan selepas tiga perlawanan Serie A yang menyaksikan kami gagal melakukannya dengan baik.

"Secara teknikalnya anak-anak buah saya beraksi dengan baik, kami dapat melakukannya dengan lebih baik dalam beberapa situasi separuh masa pertama. Kami perlu memperbaiki diri tetapi ini tidak mengubah pendekatan yang kami mulakan sejak 14 Julai lalu.

"Aspek psikologi memainkan peranan sebanyak 90 peratus dalam sukan. Kesilapan individu musim ini membuatkan kami melihat sesuatu dengan negatif.

"Keputusan ini akan mempengaruhi penilaian terhadap pendekatan kami. Tetapi kami harus melakukannya dengan lebih baik lagi bagi mengekalkan keseimbangan terhadap kekalahan dan yang paling utama dalam kejayaan."





Kemenangan keenam berturut-turut Bianconeri di tempat lawan sejak musim lalu dilanjutkan apabila Morata menyumbat enam gol dalam enam perlawanan UCL terakhirnya untuk mengumpul 22 jaringan, lantas dia menegaskan bahawa kelab Itali itu tidak gusar dengan prestasi buruk kebelakangan ini.

"Tidak, kami melalui berbagai situasi di Juventus, tidak ada banyak hal positif seperti sekarang," kata Morata kepada Sport Mediaset mengenai perasaan mereka sebelum sepak mula.

"Kami perlu menanganinya dengan baik, bersikap positif sebagai sebuah pasukan, kelab mahupun peminat. Kami harus terus begini.

"Kami menghadapi perlawanan dengan serius, hari ini dan juga Napoli tetapi adakalanya bola sepak seperti ini, boleh seri bahkan kalah. Hari ini penting untuk kami mencipta kemenangan. Kini kami perlu kembali memburu kejuaraan."