HELLAS VERONA 2 JUVENTUS 1

Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, mengakui bahawa pasukannya kini sekadar pasukan pertengahan liga selepas tewas 1-2 kepada Hellas Verona dalam perlawanan Serie A awal pagi tadi sambil beranggapan pasukannya setaraf dengan lawan kendalian Igor Tudor itu.

Jaringan berganda daripada Giovanni Simeone sudah cukup untuk pasukan tuan rumah itu mengesahkan kemenangan di Stadio Marc'Antonio Bentegodi walaupun Weston McKennie merapatkan jurang buat Juve pada 10 minit terakhir.

Simeone menjadi pemain ketujuh dalam sejarah Serie A menjaringkan dua gol atau lebih ke atas Juventus degan mewakili tiga pasukan berbeza (Genoa, Cagliari dan Verona) -- pemain terakhir berhasil melakukannya adalah Enrico Chiesa, bapa kepada pemain Juve, Federico Chiesa.

Ia juga merupakan kekalahan keempat Juve dalam Serie A musim ini dan tiba selepas mereka tewas 1-2 kepada Sassuolo tiga hari sebelum itu.

Dengan menduduki tangga kesembilan liga ketika ini, Allegri menegaskan bahawa pasukannya mampu keluar daripada situasi sukar itu tetapi pada masa sama perlu bersikap realistik.

"Segala perkataan tidak bermakna buat ketika ini. Kami berada dalam situasi yang buruk, kami perlu menerima realiti bahawa kami kini adalah pasukan pertengahan liga," katanya kepada DAZN selepas perlawanan itu.

"Kami akan mengheret diri kami untuk keluar daripada situasi ini. Tiada guna untuk menyalahkan diri sendiri, ia tidak akan membantu.

"Kami hanya perlu fokus terhadap apa yang kami perlu lakukan dan ia akan diselesaikan secara sendiri.

"Ini skuad yang baik tetapi bukan semua perkara akan memihak anda dalam bola sepak. Kami perlu memberikan reaksi dengan maruah dan keazaman kami.

"Kami perlu bermain seperti sebuah pasukan yang memiliki satu mata dan kami telah melakukannya dan kami kini perlu beraksi seperti pasukan yang memiliki 15 mata.

"Kami sedar Verona akan bermain secara fizikal dan akan merebut setiap bola, jadi jika anda tidak dapat menyamai tahap mereka, anda akan kalah.

"Menyarung jersi Juventus bukan jaminan untuk kami menewaskan pasukan di pertengahan liga. Kami perlu meraih setiap mata dan melakukannya dengan sikap yang betul," katanya.