INTER MILAN 2 JUVENTUS 3

Massimiliano Allegri menegaskan "tiada kepastian di dalam bola sepak" selepas Juventus melebarkan penguasaan di puncak Serie A dengan kelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, Napoli, menerusi kemenangan dramatik Derby d'Italia di Inter Milan.


Selepas memimpin permainan, Juve ketinggalan 2-1 kepada seteru mereka itu yang terpaksa bermain dengan 10 orang berikutan kad merah yang diterima Matias Vecino pada minit ke-18 tetapi dua gol dalam tempoh empat minit terakhir menyemarakkan semangat mereka.

Hantaran silang Juan Cuadrado terkena pertahanan Inter Milan, Milan Skriniar, sebelum menerjah jaring dan Gonzalo Higuain kemudian menanduk masuk tendangan bebas Paulo Dybala.

Juve kini memiliki kelebihan untuk menjulang Scudetto ketujuh berturut-turut dengan Napoli -- menang 1-0 di Turin pada hujung minggu lalu -- dijangka terus memberi tekanan apabila menentang Fiorentina hari ini.

Allegri, yang dilarang daripada memberi arahan di tepi padang susulan gol daripada Higuian,
tidak percaya bahawa dengan mengalahkan Inter, mereka hampir pasti muncul juara lagi.

"Ini adalah perlawanan yang indah di antara dua pasukan yang mahu menang dan memberikan aksi terbaik," kata Allegri kepada Mediaset Premium selepas perlawanan di San Siro itu berakhir, awal pagi tadi.

"Kami agresif dan bermain dengan baik sepanjang babak pertama tetapi kami terlena di bilik persalinan (pada separuh masa) dan akhirnya ketinggalan.

"Kami terus melancarkan hantaran lintang tatkala kami sepatutnya membuat pertahanan mereka keletihan. Inter bermain dengan baik tetapi akhirnya kepenatan, bergelut dengan fizikal dan kami mengambil kesempatan.

"Ia satu lagi langkah ke arah Scudetto walaupun ia masih sangat sukar. Tiada jaminan di dalam bola sepak, saya tahu ia akan menjadi sukar dan selalunya dalam empat perlawanan terakhir, akan ada tekanan berbanding ketika anda beraksi pada September.

"Malah, pasukan gergasi pun akan ada saat-saat mereka kehilangan keyakinan. Untungnya, pemain telah menemui rentak dan kami mengatasinya," ujanya lagi.