Juventus perlu menunggu kehadiran jurulatih baru dilantik sebelum membincangkan untuk menandatangani semula Paul Pogba daripada Manchester United, kata pengarah sukan, Fabio Paratici.

Juara Serie A itu dilaporkan sudah mula berbincang dengan The Red Devils untuk mendapatkan semula Pogba, yang meninggalkan Turin untuk kembali ke United pada Ogos 2016 selepas memenangi empat kejuaraan liga dan dua Piala Itali bersama Juve.

Persembahan Pogba sering dikritik dan terdapat desas-desus dia bakal berhijrah ke Real Madrid, yang berada dalam proses rombakan di bawah seliaan Zinedine Zidane.

Tetapi pemenang Piala Dunia itu bersifat terbuka untuk kembali ke Juve, dengan gergasi Itali itu dikhabarkan bakal menawarkan Paulo Dybala, Douglas Costa atau Alex Sandro, ditambah dengan yuran perpindahan yang ditetapkan.

Paratici telah ditanya mengenai ura-ura membawa Pogba kembali ke Turin dan pemain Fiorentina, Federico Chiesa –- yang dilaporkan dalam radar Juve -- dan beliau menjelaskan segala perpindahan bakal ditentukan oleh pengganti Massimiliano Allegri di Stadium Allianz.

"Federico Chiesa? Kami sememangnya memerlukan pasukan yang kompetitif. Kami terlebih dahulu perlu menunggu jurulatih yang bakal dilantik," katanya.

"Kami akan membuat penilaian secara menyeluruh sebelum membuat pengumuman.

"Pogba? Sama juga, kami akan berbincang dengan jurulatih baru.

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, dilihat sebagai pilihan untuk dilantik sebagai ketua jurulatih Juve dan telah memberitahu Chelsea hasratnya untuk meninggalkan The Blues.