Juventus dan Atletico Madrid akan berentap di padang latihan gergasi Serie A itu, tengah malam ini, selepas kebimbangan keselamatan mendorong perlawanan persahabatan di Tel Aviv terpaksa dibatalkan.

Pasukan itu sepatutnya bertemu di Stadium Bloomfield tetapi ketegangan di Semenanjung Gaza yang makin meningkat menimbulkan keraguan adakah perlawanan itu boleh berlangsung di Israel.

Berikutan situasi itu, Juventus mencari jalan keluar apabila mendedahkan perlawanan berkenaan telah dipindahkan ke Itali.

“Pada asalnya ia dijadualkan berlangsung di Tel Aviv, perlawanan di antara dua gergasi bola sepak ini akan dimainkan di Pusat Latihan Juventus, Continassa, di Turin,” menurut satu kenyataan Juve.

Perlawanan itu yang akan berlangsung secara tertutup akan menjadi aksi pemanas badan terakhir kedua-dua pasukan sebelum mereka memulakan kempen liga masing-masing.

Bianconneri memulakan kempen Serie A di laman sendiri menentang Sassuolo pada 16 Ogos sementara anak buah Diego Simeone bertandang ke Getafe pada hari yang sama bagi memulakan kempen LaLiga.