Federico Bernardeschi kekal optimis dengan peluang Juventus memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dalam tempoh dua musim lagi selepas tersingkir di tangan Ajax di peringkat suku akhir, semalam.

Juve memasuki aksi timbal balik di Stadium Allianz itu dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri 1-1 dan Cristiano Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-28.

Bagaimanapun, Doony van de Beek menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama dan Matthijs de Ligt menanduk masuk jaringan kemenangan Ajax pada minit ke-67, sekali gus menyingkirkan skuad kendalian Massimiliano Allegri itu.

Juve berbelanja EURO112 juta untuk menandatangani pemenang UCL lima kali, Ronaldo, dari Real Madrid pada Julai tahun lalu bagi meningkatkan peluang mereka memenangi gelaran yang kali terakhir dijulang pada 1996.

Di sebalik gagal muncul juara Eropah, Allegri –- yang membimbing pasukan ke final pada musim 2015 dan 2017 -- dan presiden, Andrea Agnelli, mengesahkan pengendali itu akan kekal sehingga musim depan.

Bernardeschi yakin ia merupakan keputusan yang tepat di samping percaya penantian Juve untuk merangkul kejuaraan UCL akan berakhir.

"Kehadiran Allegri penting buat pasukan. Saya berasakan presiden kelab akan meletakkan UCL sebagai projek utama pasukan, sama seperti tahun-tahun sebelum ini," katanya.

"Saya percaya trofi UCL akan tiba di Turin dalam tempoh dua musim lagi."