Hasrat Kedah untuk mencari kemenangan kedua tidak terlaksana apabila Perak menunaikan janji tidak mahu dimalukan di laman sendiri dengan perlawanan berakhir seri 1-1 di Stadium Perak, malam tadi.

Kedua-dua pasukan bermula garang dan seawal minit pertama, Perak mencetak jaringan namun ofsaid.

Gerakan barisan muda bimbingan Mehmet Durakovic itu terus mengasak yang membawa hasil pada minit ke-18 menerusi Brendan Gan.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak dibiar lama apabila pemain import Kedah, Renan Alves, menyamakan kedudukan pada minit ke-20.

Momentum kedua-dua pasukan dikekalkan sebaik perlawanan bersambung.

Namun, insiden kecederaan pengadil perlawanan, Hamdan Awang, membuatkan perlawanan terhenti lama.

Aksi itu diteruskan selepas penolong pengadil pertama, Mohd Shahreen Omar, memainkan peranan di bahagian tengah padang.

Namun, tiada sebarang penambahan jaringan berlaku.

"Kami mencipta lebih banyak peluang, namun terpaksa bangkit selepas dibolosi.

"Saya memuji kesungguhan pemain atas usaha komited dan peluang yang mereka cipta," kata jurulatih Perak itu.

Tambah jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak: "Kami sedar ia akan menjadi pertemuan yang getir tetapi kami sudah bersedia.

"Pemain saya telah memberikan semangat juang yang hebat.

"Sebelum sepak mula lagi, saya sudah mengatakan bahawa mana-mana pasukan yang bijak mengambil kesempatan akan memiliki kelebihan.

"Kedua-dua pasukan memiliki peluang, cuma tidak bernasib baik untuk menyudahkannya."