Emiliano Alvarez, jurulatih penjaga gol Manchester United yang mengendalikan David De Gea, telah meninggalkan pasukan selepas disahkan oleh kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Jurulatih berusia 47 tahun itu yang bekerjasama dengan De Gea sejak tiga musim lalu, kekal dalam barisan kejurulatihan pasukan meskipun Jose Mourinho dipecat Disember lalu.

Alvarez turut mengendalikan De Gea sewaktu permulaan karier di Atletico Madrid sebelum mengikut jejak langkah pemain Sepanyol itu berhijrah ke Old Trafford pada 2016 tetapi dia kini meninggalkan pasukan susulan kehadiran Richard Hartis selaku jurulatih senior penjaga gol.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Alvarez di atas bantuan dan kerja keras yang diberikan sejak saya kembali ke kelab ini," kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

"Dia seorang jurulatih yang bagus dan kami mengucapkan selamat maju jaya untuknya."

Alvarez meninggalkan United dua minggu selepas De Gea -- yang menjadi sasaran Real Madrid sejak sekian lama -- menandatangani kontrak lima tahun di Old Trafford.

"Saya sentiasa bangga bekerjasama dengan kelab ini," ujar jurulatih itu.

"Selamat maju jaya untuk United bagi menghadapi cabaran selepas ini."