Jurgen Klopp jelaskan isu ketua pasukan Liverpool kepada Mohamed Salah

Shaiful Shamsudin
Disember 25, 2020 23:47 MYT
Jurgen Klopp mendedahkan telah berbincang dengan Mohamed Salah berhubung kekecewaannya kerana tidak dilantik sebagai ketua pasukan Liverpool dalam satu perlawanan awal bulan ini.
D alam wawancara dengan Diario AS, Salah mengatakan dia "sangat kecewa" tidak dapat dijadikan kapten ketika menentang Midtjylland dalam Liga Juara-Juara (UCL) sambil tidak menolak perpindahan ke Real Madrid atau Barcelona.
Trent Alexander-Arnold diangkat selaku kapten untuk pertemuan di Denmark itu dan Klopp mengakui kesilapannya.
Pengurus Liverpool itu menjelaskan bahawa dia telah membincangkan keputusannya dengan penggempur dari Mesir itu yang telah menyumbat 16 gol dalam 21 perlawanan musim ini.
"Saya sering menjadi ketua pasukan sepanjang karier saya ini dan menggaggap tugas ini tidak begitu berfaedah dan menggalas tanggungjawab besar," kata Klopp.
"Saya tidak berasakan kepentingannya untuk menjadi kapten. Sebelum perlawanan, saya tidak menyedari betapa pentingnya hal itu buat pemain dan saya tidak menyedari betapa besar amanatnya ke atas Trent.
"Kami mempunyai jawatankuasa pemain di sini. Ia terdiri daripada Jordan Henderson, James Milner, Virgil van Dijk dan Gini Wijnaldum. Keempat-empat mereka adalah calon kapten. Sekiranya mereka semua tidak dapat beraksi, biasanya orang yang paling lama di kelab akan dilantik. Sebagaimana saya melihatnya, ia adalah Trent. Saya tidak maksudkannya di peringkat belia, sebaliknya dalam kerjaya profesionalnya. Kemudian seseorang mengingatkan saya bahawa atas faktor itu maka Divock Origi sepatutnya yang terpilih. Jadi ia silap saya.
"Selepas itu saya ada bercakap dengan Mo mengenainya. Kemudian saya menyedari bahawa ia tidak berjalan dengan baik jadi saya menjelaskannya. Wawancaranya bukan satu masalah bagi saya. Memang dia kecewa. Saya tidak sengaja melakukannya dan jika saya ada melakukan sebarang kesilapan, ia disebabkan saya tidak melantik Divock Origi sebagai kapten pada hari itu."

It's that time of year again... ? pic.twitter.com/HBQX1haYdh

— Liverpool FC (@LFC) December 23, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Temu bual Salah itu mencetuskan spekulasi hangat mengenai masa depannya yang mempunyai kontrak hingga 2023 di Anfield.
Begitupun, Klopp melihat tiada sebab mengapa pemain berusia 28 tahun itu mahu meninggalkan The Reds yang menanti kunjungan West Brom dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, tengah malam Isnin ini.
"Saya tidak pasti. Kami semua mahunya kekal dan kami boleh mencari kelab lain jika dia berhajat tetapi satu-satunya alasan untuk meninggalkan Liverpool sekarang adalah cuaca," katanya.
"Apa alasan lain yang ada? Ini adalah salah sebuah kelab terbesar di dunia.
"Kami menawarkan gaji yang baik, mungkin bukan yang paling lumayan di dunia tetapi kami melunaskannya dengan baik. Kami mempunyai stadium sensasi, penyokong yang luar biasa dengan pangkalan peminat di seluruh dunia. Warna kami berwarna merah, yang merupakan warna yang paling bagus, jadi apa alasannya? Tetapi anda tidak boleh memaksa seseorang itu untuk kekal.
"Kami tidak pernah melakukannya, hal-hal seperti ini hanya akan berlaku pada saat-saat yang tepat. Kami telah membuat perubahan dengan membawa masuk pemain dan jika seseorang itu ingin meninggalkan kami maka kami tidak akan menghalang mereka."
#Liverpool #Mohamed Salah #EPL #Jurgen Klopp