Jurgen Klopp kagum dengan sesi rakaman latihan Virgil van Dijk di gimnasium tetapi pengurus itu mengingatkan ramai bahawa pemulihan pertahanan Liverpool itu masih panjang.

Pemain Belanda itu ditimpa kecederaan lutut serius ketika seri 2-2 dengan Everton dalam 'derby Merseyside', Oktober lalu, ekoran terjahan keras daripada Jordan Pickford.

Van Dijk berkemungkinan terlepas baki kempen musim ini sementara statusnya dalam Euro 2020 masih belum jelas.

Minggu ini, peminat The Reds seronok melihat latihan pemain itu di Dubai -- di mana legenda Oranje, Clarence Seedorf, bekerjasama dengannya.

Klopp juga gembira melihat kemajuan yang dibuat tetapi juga melontarkan nada berhati-hati.

"Bagus, sangat bagus. Saya tiada masalah untuk membincangkan tentang Virgil van Dijk," kata Klopp ketika hadir menonton perlawanan membabitkan bekas kelab Van Dijk, Southampton dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ia perkembangan yang sangat bagus tetapi dia masih perlu menempuhi jalan yang panjang untuk mengatasi kecederaan seperti ini. Saya gembira apabila melihat video ini kerana ia menunjukkan bahawa dia melaluinya dengan baik tetapi ia masih memerlukan banyak masa.

"Sayangnya saya ingin mengatakan sebaliknya tetapi inilah kenyataannya."

A post shared by Clarence Seedorf (@clarenceseedorf)



Dua perlawanan dibatalkan minggu ini iaitu pertembungan Manchester City dengan Everton serta Tottenham dengan Fulham berikutan penularan COVID-19 di kem City dan Fulham.

Selasa lalu, Liga Perdana mengumumkan 18 kes positif -- jumlah tertinggi sejak langkah itu dimulakan -- tetapi belum ada rancangan untuk menangguhkan liga bagi memutuskan rantaian pandemik tersebut.

Justeru, Klopp sedia dengan keputusan penganjur: "Saya bukan pakar, kami berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan persaingan terus berjalan.

"Saya rasa ia berfungsi dengan baik, kami sedar bahawa musim sejuk akan menjadi gelombang kedua.

"Lebih-lebih lagi kami yang menyambut Krismas, ia adalah satu cabaran jadi saya tidak terkejut bahawa jumlahnya meningkat.

"Saya fikir pertandingan ini boleh diteruskan dan saya rasa ia juga penting kerana orang mahu menontonnya.

"Saya rasa kami mampu meneruskannya tetapi saya bukan pakar dan saya menghormati semua keputusan yang dibuat dalam beberapa minggu ke akan datang."