BURNLEY 0 MANCHESTER CITY 2

Pep Guardiola tidak berminat dengan penderitaan yang sedang ditempuhi seteru Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain selepas Manchester City terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas, dengan menyatakan: "Kami harus menjalankan tugas sendiri."


Gol daripada Gabriel Jesus dan Raheem Sterling memastikan kemenangan 2-0 City di Burnley, awal pagi tadi, untuk rentetan kejayaan ke-13.

Guardiola juga menyaksikan pasukannya mencatat kemenangan tanpa bersih untuk keenam liga berturut-turut -- pencapaian terbaik tanpa dibolosi -- untuk unggul tiga mata dalam pemburuan gelaran liga.

Manchester United sempat memintas jiran mereka itu 24 jam sebelumnya dengan mengalahkan Southampton 9-0, namun satu-satunya fokus pengurus berbangsa Sepanyol itu adalah perlawanan berikutnya, Liverpool -- yang sekali lagi merapati kekalahan di Anfield -- tengah malam Isnin depan.

"Kami harus melakukan tugas kami. Satu kesilapan besar untuk memikirkan pasukan lain," katanya kepada BBC Sport.

"Ketika kami di kedudukan ke-12, kami terlintas untuk melupakan gelaran EPL sekiranya kami ke Liga Europa musim depan.

"Ini bukan soal perlawanan mahupun statistik. Ia hanya berkenaan perlawanan berikutnya."




Jesus meledak gol ketika dia membarisi kesebelasan utama dalam ketiga perlawanan berturut-turut termasuk ketika muncul wira City dengan jaringan tunggal ke atas kelab tercorot, Sheffield United, hujung minggu lalu.

Pemain antarabangsa Brazil itu membuktikan keupayaannya untuk mengambil tempat Sergio Aguero yang tercedera, sekali gus menerima pujian daripada Guardiola atas sumbangan sentuhan pemusnahnya.

"Tiada keraguan tentang Gabriel," katanya lagi.

"Kami gembira dengan Gabriel sepanjang masa.

"Penyerang perlu menjaringkan gol. Dia menghadiahkan kami tiga mata dalam perlawanan terakhir dan hari ini pula dia membuka tirai jaringan.

"Sudah tentu, kami memerlukan jaringannya. Dia menyedarinya tetapi sumbangannya dalam banyak aspek juga sangat hebat."

Sempena kunjungan ke Anfield, pengurus The Citizens itu menambahkan: "Ini jumlah mata yang sama ditawarkan tetapi kami akan menentang pencabar utama. Pada akhirnya tujuannya adalah untuk menjadi juara."

City memenangi ketiga-tiga pertemuan mereka ke atas Burnley musim ini dengan agregat 10-0.