Jules Kounde merupakan muka baru tunggal yang tidak didaftarkan Barcelona menjelang perlawanan pembuka tirai LaLiga.

Pengurus Barca, Xavi, mendedahkan kelab itu optimis rekrut baru mereka dapat didaftarkan tetapi kelima-lima mereka mungkin tidak mendapat lampu hijau untuk membuka kempen LaLiga menentang Rayo Vallecano, awal pagi esok.

Dalam masa sama, pendaftaran Robert Lewandowski, Raphinha, Andreas Christensen dan Franck Kessie di samping Ousmane Dembele dan Sergi Roberto yang menandatangani kontrak baru telah pun diluluskan.

Cuma nama pertahanan tengah, Kounde, tidak dibenarkan LaLiga di sebalik Barca mengaktifkan lonjakan ekonomi keempat, awal pagi tadi.

Kounde -- sedang menjalani pemulihan berikutan pembedahan kecil di pelvis Jun lalu -- mungkin pemain terakhir yang akan didaftarkan selepas dibeli daripada Sevilla untuk muncul antara lima tonggak baru yang dibawa masuk oleh gergasi Catalan itu.

Barca sibuk mengumpul dana bagi memenuhi had gaji LaLiga malah menjual 24.5 peratus lagi aset syarikat dengan menjana pendapatan €100 juta (RM456.1j) selain memeterai perjanjian penajaan lumayan bersama Spotify dan penjualan hak penyiaran.



The Blaugrana telah menurunkan jumlah tangga gaji pemain mereka termasuk sedia menjual Frenkie de Jong dan Pierre-Emerick Aubameyang yang dikaitkan dengan Chelsea.

Xavi dalam sidang akhbar berkata bahawa dia bersedia berdepan kemungkinan terlepas khidmat beberapa anak buahnya hujung minggu ini.

Dia memberitahu pemberita: "Kami bekerja keras dan semua orang di kelab sangat positif. Mungkin tidak 100 peratus (pemain akan didaftarkan) tetapi kami optimis. Kita akan lihat kelak.

"Kami telah membuat pembelian yang sangat baik, saya amat teruja dengan pemain yang telah kami tandatangani. Kami mempunyai masa hingga esok dan setakat ini kami begitu optimis."

Barca dijangka menjadikan pertahanan Chelsea, Marcos Alonso, sebagai sasaran seterusnya selain terus dikaitkan dengan pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva.