Jose Mourinho menjawab balik kepada penyokong Chelsea yang didakwanya merengek-rengek sambil mempertahankan dia masih kekal pengurus terhebat kelab itu.

Dalam pada itu, Mourinho turut membuat pusingan U yang aneh dengan mengakui bertanggungjawab terhadap kekurangan bola sepak Eropah di Stamford Bridge musim ini.

Mourinho mengalami satu lagi kepulangan menyedihkan ke Chelsea apabila Manchester United kendaliannya tewas 1-0 dalam suku akhir Piala FA awal pagi tadi, menyusuli kekalahan 4-0 di padang yang sama kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris itu Oktober lalu.

Pengurus berbangsa Portugis itu dan penggantinya, Antonio Conte, bertikam lidah di garis tepi padang selepas Ander Herrera dibuang padang dalam separuh masa pertama, mencetuskan sorakan “Judas” daripada penyokong Chelsea terhadap bekas pengurus mereka itu.

Mourinho memberitahu satu sidang media mengenai cemuhan itu: “Mereka boleh memanggil saya apa saja yang mereka mahu.

“Sehingga saat mereka memiliki seorang pengurus yang memenangi empat kejuaraan Liga Perdana untuk mereka, saya masih nombor satu.

"Apabila mereka ada seseorang yang menang empat Liga Perdana untuk mereka, saya jadi nombor dua. Sehingga detik ini, Judas adalah nombor satu.”

Pengurus United itu sudah kerap menyindir kejayaan Chelsea musim ini – mereka berkelebihan 10 mata di tangga teratas Liga Perdana – gara-gara kurangnya bola sepak Eropah di kelab itu selepas kehambaran kempen musim lalu yang menyaksikan Mourinho dipecat.

Sebelum perlawanan itu, Mourinho berkata: “Ia adalah silap saya dan silap pemain-pemain.”

Namun, menyedari ungkapan kasarnya itu didorong rasa kecewa terhadap musim yang tertumpu kepada liga domestik, dia mengubah nada selepas perlawanan.

"Satu-satunya perkara ialah kami bermain di Eropah dan lawan kami tidak,” katanya.

“Lawan kami boleh kerana ketika saya tinggalkan kelab ini musim lalu, saya tinggalkan mereka dalam Liga Juara-Juara, memenangi kumpulan Liga Juara-Juara dan mara ke kumpulan kalah mati Liga Juara-Juara.

“Bermain perlawanan peringkat kedua di tempat sendiri dan memiliki kelebihan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Jadi, jika mereka memenangi Liga Juara-Juara tahun lalu, maka mereka harus bermain di Eropah musim ini.

"Ia bukan salah saya, ia salah mereka yang kekal di sini dan tidak layak ke Liga Juara-Juara. Ia adalah satu fakta bahawa kami tidak begitu bagus dalam Liga Perdana.”