Pertahanan Atletico Madrid, Juanfran, menjadi pemain terbaru yang menyertai senarai kecederaan dalam skuad bimbingan Diego Simeone.

Sebelum ini, bek kiri pasukan, Felipe Luis, disahkan mengalami keretakan tulang kering ketika aksi Liga Europa menentang Lokomotiv Moscow dan dijangka terlepas peluang untuk beraksi dalam Piala Dunia.

Walaupun tahap kecederaan yang dialami Juanfran tidak seteruk bekas benteng Chelsea itu, namun ia memberikan masalah besar buat Rojiblancos selepas kehilangan khidmat Yannick Carrasco, Nicolas Gaitan dan Miguel Angel Moya yang berpindah ke Liga Super China, baru-baru ini.

“Juanfran terpaksa dibawa keluar ketika waktu rehat semasa pertemuan dengan Lokomotiv Moscow disebabkan masalah pada bahagian otot. Dia bakal menjalani pemeriksaan perubatan dan berkemungkinan berdepan masalah dengan paha,” kata satu kenyataan daripada Atletico.

Situasi itu membuatkan Simeone terpaksa melupakan khidmat pertahanan Sepanyol itu menjelang aksi LaLiga bertemu Villareal pada awal pagi Isnin dan dijangka terlepas saingan suku akhir Liga Europa menentang Sporting Lisbon serta perlawanan getir berdepan Real Madrid.

Pemain berusia 33 tahun itu telah melakukan 10 penampilan liga pada musim ini, bersaing dengan Sime Vrsaljko tetapi kali terakhir menyarung jersi Sepanyol pada tahun 2016.

Atletico kini menduduki tangga kedua LaLiga selepas ketinggalan lapan mata di belakang Barcelona, namun memiliki kelebihan tujuh mata berbanding Los Blancos yang berada di tangga ketiga.