Stefan Effenberg memberitahu kepada Bayern Munich supaya menjual Robert Lewandowski dan memberikan tumpuan kepada perkembangan bakat-bakat muda Jerman.

Lewandowski minggu lalu telah mengkritik kegagalan kelab itu untuk berbelanja besar bagi mendapatkan pemain yang bertaraf bintang sepertimana yang dilakukan oleh Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona.

Kekalahan 2-0 kepada Hoffenheim semalam merupakan satu lagi kritikan terhadap pilihan pemain yang diturunkan oleh Carlo Ancelotti serta taktikal yang kurang menjadi buat The Bavarians.

Bekas pemain tengah, Effenberg, bagaimanapun menyokong pendekatan baru yang diterapkan oleh Bayern dan berasakan sudah tiba masa untuk mereka mencari pengganti penyerang kebangsaan Poland itu.

"Secara tidak langsung, Lewandowski tidak bersetuju dengan falsafah kelab ini. Presiden kelab, Uli Hoeness, telah menyatakan beberapa kali bahawa mereka tidak akan membawa masuk pemain yang melebihi nilai EURO100 juta (RM504 juta).

"Dia turut menyelar rakan sepasukannya, yang tidak memiliki kualiti serta keinginan yang sama dengan impiannya meraih gelaran Liga Juara-Juara (UCL).

"Beberapa minggu yang lalu, saya sendiri telah mengatakan bahawa Bayern dalam bahaya jika gagal mengikut jejak langkah PSG atau Barca.

"Tetapi buat Lewandowski, dia seharusnya lebih berhati-hati dengan kenyataannya sendiri dan meluahkannya secara dalaman."

Bayern memecah rekod perpindahan untuk menandatangani Corentin Tolisso dari Lyon pada Jun lalu dan mendapatkan pemain pinjaman, James Rodriguez dari Real Madrid.

Tetapi mereka juga mendapatkan khidmat bintang muda Jerman seperti Serge Gnabry dan Niklas Sule, serta seorang pemain berpengalaman, Sebastian Rudy.