Hatrik kapten KL City, Paolo Josue, melenyapkan nafsu Penang FC yang cuba mengganas di Stadium Cheras semalam.

Penang yang semakin selesa dengan jolokan 'The Giant Killers' nampaknya tidak berkesan ke atas Kuala Lumpur yang menghuni tangga ketujuh sebelum perlawanan.

Josue benar-benar menepati perancangan yang telah diatur jurulatih KL City, Bojan Hodak, bersama dengan gandingannya, Romel Morales.

Kedua pemain itu tenang membuktikan mereka adalah pilihan terbaik walaupun ada yang cuba menyangkal.

Bersama dengan kelincahan Morales membentuk ruang jaringan menyentak barisan Tomas Trucha yang cuba mendominasi di awal babak.

"Josue telah beraksi cemerlang dalam perlawanan ini. Dia seorang pemain yang sangat penting bagi pasukan dan menghasilkan tiga namun mampu meledak lebih banyak lagi," kata Hodak.

Benar bagai dikata Hodak, pasukannya melewati peningkatan prestasi dari masa ke semasa walaupun sekadar melewati pembentukan pasukan dengan bajet yang rendah.

Sudah pasti kemenangan semalam merupakan hadiah termanis buat Hodak yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 pada hari yang sama.

Sementara itu, Trucha kekal tenang, pengendali itu menegaskan kejayaan KL City berpunca daripada lompong pasukanya yang banyak kehilangan khidmat pemain utama.

"Sememangnya kami tidak dapat menurunkan barisan terbaik sejak beberapa minggu yang lalu. Kami telah bermula dengan baik namun ini bukan hari kami."