Ejen Jorginho, Joao Santos, mengesahkan bahawa bintang Napoli berkenaan mendapat minat daripada "beberapa kelab" apabila dia sedia mengadakan rundingan dengan skuad Serie A itu.

Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, dan jirannya, Manchester United , telah dikaitkan dengan pemain tengah antarabangsa Itali berusia 26 tahun itu.

Jorginho -- yang tiba dari Verona pada 2014 -- diikat Napoli dengan kontrak sehingga 2020.

Ditanya mengenai masa depan Jorginho, Santos memberitahu Radio Kiss Kiss Napoli: "Saya akan bercakap dengan kelab kerana Jorginho mempunyai dua tahun lagi dalam kontraknya.

"Tetapi ada juga beberapa kelab yang berminat terhadapnya. Pada masa ini, kita semua tahu (Pepe) Reina akan pergi."

Jorginho memainkan peranan penting mengejar Scudetto yang menjadi harapan Napoli pada musim ini, dengan pemain itu menjaringkan dua gol dan membuat empat bantuan jaringan dalam 30 penampilan Serie A.