Gianfranco Zola percaya pemain tengan Chelsea, Jorginho, layak untuk memenangi Ballon d'Or walaupun perlu mengatasi Lionel Messi dalam perebutan gelaran itu.

Jorginho menamatkan musim 2020-21 sebagai penjaring terbanyak Chelsea dengan tujuh gol walaupun kesemuanya melalui sepakan penalti.

Dia mengekalkan prestasi itu dalam Euro 2020 degan bermain dalam setiap minit buat Itali sebelum menamatkan kempen itu selaku juara selepas menewaskan England menerusi sepakan penalti di Wembley.

Pemain kelahiran Brazil itu gagal menjaringkan sepakan penaltinya dalam perlawanan akhir itu tetapi menamatkan kejohanan berkenaan dengan penuh gemilang bersama Azzurri.


Bekas penyerang Chelsea, Zola -- yang melakukan 35 penampilan buat Itali dan menjaringkan 10 gol di antara 1991 dan 1997 -- yakin Jorginho mampu menyaingi pemenang enam kali, Messi, dalam perebutan Anugerah Ballon d'Or tahun ini.

"Anugerah Ballon d'Or kebiasaannya dianugerahkan kepada penyerang atau pemain di bahagian serangan yang boleh menjaringkan banyak gol," kata Zola kepada Stats Perform.

"Kita sedang bercakap mengenai pemain hebat seperti Messi yang melakukan banyak perkara luar biasa buat kali pertama bersama pasukan kebangsaannya -- dan ini tidak akan diabaikan.

"Jika mereka memberikannya kepada Jorginho, itu selayaknya dia. Dia telah memberikan keseimbangan yang kukuh dan rentak buat pasukannya. Saya bertuah kerana memilikinya di Chelsea dan saya tahu apa yang dilakukannya di atas padang.

"Ia akan menjadi sesuatu yang layak untuknya kerana bukan sahaja berdasarkan prestasinya di tahap tertinggi tetapi pasukan yang diwakilinya juga telah menunjukkan kecemerlangan. Semua itu perlu diambil kira," katanya.