Selepas pelbagai versi kedengaran, hari ini termaktub sudah Brad Maloney dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak lagi sehaluan.

Segalanya tampak tidak kena bermula dengan pandemik COVID-19, kesukaran mendapatkan pemain menjelang kejohanan yang menjurus prestasi buruk pasukan remaja negara yang bermula dalam Piala AFF B-23 2022 di Kemboja disusuli dua kejohanan berikutnya.

Menurut penjelasan badan induk tersebut, keputusan itu terpaksa diambil demi kelangsungan pasukan sekalipun Maloney baru melanjutkan kontraknya Disember tahun lalu.




Antara pencapaian pengendali dari Australia itu adalah ketika muncul naib juara Piala AFF B-19 2019.

Dalam Sukan SEA 2021 di Vietnam, skuad negara menamatkan saingan di tempat keempat.

"Dalam klausa kontrak ada tulis, ini bermakna kami telah mencapai keputusan bersama di antara satu sama yang lain.

"Di pihak Brad, kita bersetuju bersama untuk dia dilepaskan," kata Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar.

Antara calon yang disebut-sebut akan menggantikan posisi itu ialah penolong jurulatih kebangsaan, E Elavarasan, dan Pau Marti Vicente.

Begitupun, Saifuddin menafikan FAM telah mempunyai calon tertentu bagi meneruskan kesinambungan skuad senior yang layak ke Piala Asia 2023 secara merit di bawah tunjuk ajar Kim Pan-gon.

"Itu angin yang bertiup kencang, tapi angin itu bunyi lain.

"Setakat ini kami belum membuat perancangan lagi, kita tengoklah macam mana selepas ini," katanya.