Zlatan Ibrahimovic tidak akan ditawarkan kontrak baru oleh Manchester United selepas namanya tersisih daripada senarai pemain yang akan dikekalkan, seperti yang diumumkan oleh Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang itu akan meninggalkan Old Trafford sebaik kontraknya berakhir pada bulan ini dan boleh menyertai mana-mana kelab secara percuma.

United mengikat Ibrahimovic selama semusim dan pengurus pasukan, Jose Mourinho, pada November lepas mengesahkan mereka mahu mengambil pilihan untuk melanjutkan kontraknya selama 12 bulan lagi.

Bagaimanapun, perjanjian itu gagal dimuktamadkan dan Ibrahimovic pula ditimpa kecederaan lutut teruk pada April lalu dan secara tidak langsung kemampuannya diragui.

Pemain berusia 35 tahun itu menderita nasib malang itu dalam aksi suku akhir kedua Liga Europa bertemu Anderlecht yang akan mengetepikannya sehingga Januari depan.

Minat United ke atas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, turut mencetuskan dakwaan bahawa jodoh Ibrahimovic di kelab berkenaan sudah sampai ke penghujungnya di sebalik dia merakamkan 28 gol untuk membantu Red Devils menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa.

Bekas ketua pasukan Sweden itu turut menjaringkan gol kemenangan dalam aksi perebutan Piala Perisai Komuniti dengan Leicester City dan final EFL dengan Southampton selain mencetak 17 gol dalam liga.