Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, berkata beliau akan kekal di Turin jika kelab tidak memecatnya.

Selepas dikaitkan bakal ke England untuk mengambil alih Arsenal dan Chelsea serta juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), Allegri membantu Juve merangkul kejuaraan Scudetto yang ketujuh berturut-turut, semalam.

Seri tanpa jaringan berdepan Roma memastikan kejuaraan Serie A yang keempat buat Allegri, yang masih lagi dalam perbincangan bagi menjelaskan hala tujunya dalam karier kejurulatihan -- dilihat sebagai calon terbaik menggantikan Arsene Wenger di Arsenal sementara kedudukan Antonio Conte bersama Chelsea kini dalam keadaan terumbang-ambing.

Bagaimanapun, Allegri memberitahu, "Jika mereka tidak pecat saya, saya akan kekal bersama Juventus hingga tahun depan."

Bekas pengurus AC Milan itu berhijrah ke Juventus pada 2014, menggantikan tempat Conte.

Sejak empat tahun lalu, pengendali berusia 50 tahun itu membantu Juve mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) dua kali di samping memenangi empat Coppa Italia dan satu Supercoppa Italiana.