Pep Guardiola berkata dia mengagumi permulaan mantap Gabriel Jesus di Manchester City dan akan terus mengekalkannya dalam kesebelasan utama, mengisi slot Sergio Aguero yang terpaksa memanaskan bangku pemain simpanan.

Jesus meneruskan aksi mantap selepas tiba di England pada Januari dengan meledak dua gol -- termasuk gol kemenangan pada masa kecederaan -- dalam kemenangan 2-1 ke atas Swansea City, semalam.

Pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain kelima City untuk meledak gol dalam dua penampilan pertama dalam Liga Perdana Inggeris berturut-turut, dengan sumbangannya itu membawa City ke kedudukan ketiga liga.

Guardiola berasakan segala-galanyanya sudah jelas bahawa Jesus akan mengekalkan tempatnya, dengan Aguero sekadar duduk di bangku simpanan sejak penyerang Brazil itu mengisi kesebelasan utama ketika berdepan West Ham dan Swansea.

Ditanya sama ada Jesus akan kekal dalam kesebelasan utama, Guardiola memberitahu Sky Sports: "Apa yang kamu fikirkan? Sudah tentu!

"Ia bukan sahaja tentang gol yang dijaringkannya. Dia memiliki kemampuan yang menakjubkan. Ketika 10 minit pertama perlawanan, sebaik diturunkan berdepan Tottenham, dia mempamerkan segala kehebatannya.

"Kami semua teruja dengan apa yang dipamerkannya di atas padang.

"Dia seorang yang tidak gentar dalam menghadapi situasi satu lawan satu. Dia baru berusia 19 tahun, kami sangat teruja dengan apa yang kelab ini lakukan bagi memastikan dia berada di sini.

"Gabriel Jesus memiliki fizikal yang kuat dan larian pantas. Kami gembira dengan prestasinya.

"Sergio seorang pemain profesional. Tiada sesiapa akan terima jika dia tidak bermain tetapi dia juga boleh digandingkan dengan Gabrile, itu bukan satu masalah."

Guardiola turut berasakan Jesus, yang berhijrah ke City dari Palmeiras dengan yuran perpindahan GBP27 juta, memiliki mentaliti mengagumkan pada usia muda.

"Dia masih belum memahami bahasa Inggeris, jadi dia masih belum faham apa yang orang sedang perkatakan tentangya, itu perkara yang bagus."