Pep Guardiola memuji Gabriel Jesus umpama seekor haiwan meskipun penggempur Brazil itu menyatakan rasa kecewa akibat kekurangan aksi dalam kesebelasan utama.

Jesus menjaringkan gol ketiga musim ini sewaktu City memulakan kempen mempertahankan Piala EFL dengan kemenangan 3-0 ke atas Preston North End minggu lalu tetapi dijangka berada di bangku simpanan bagi pertemuan dengan Everton, malam ini.

Sergio Aguero telah menjaringkan gol dalam setiap aksi Liga Perdana Inggeris musim ini dan walaupun Jesus menyatakan rasa kagum dan hormat terhadap penjaring terbanyak sepanjang zaman City itu, dia menegaskan dirinya sentiasa ada dan menunggu fasa di Etihad.

"Dia sangat bersemangat. Saya baca tentang sesi temubual itu dan ia sempurna," kata Guardiola.

"Ia penuh dengan hormat. Tiada sebarang masalah. Sudah tentu dia mahu beraksi kerana dia adalah penyerang utama Brazil.

"Baru-baru ini, saya ada katakan dia mungkin satu-satunya penyerang di dunia ketika ini yang memiliki mentaliti sebegitu.

"Setiap kali dia di atas padang, jika beraksi sesaat, dua minit atau 90 minit, dia bermain seperti seekor haiwan. Dia sentiasa melakukan yang terbaik.

"Bukan hanya Jesus tetapi semua pemain mahu bermain dalam setiap perlawanan. Itu normal dan bukan satu masalah."

Sementara itu, bek tengah, Eric Garcia dan Taylor Harwood-Bellis, turut menyinar ketika di Preston, sekali gus memberi lebih pilihan buat Guardiola tatkala pengurus dari Sepanyol itu dihimpit masalah kecederaan melibatkan anak buahnya.

"Saya tahu mereka sudah sedia. Tidak perlu buat mereka turun beraksi ketika berdepan Preston," tambahnya.

"Tentunya mereka masih muda, akan lakukan kesilapan seperti pemain senior.

"Sudah tentu dia sudah sedia. Mereka boleh berlatih dan bermain bersama kami. Jika belum sedia, peluang berdepan Preston tidak akan diberikan."