"Mendapat jersi no.10 Juventus adalah satu penghormatan dan impian saya sejak kecil," kata Paulo Dybala.

Jersi tersebut -- yang tidak bertuan sejak perpindahan Paul Pogba ke Manchester United musim lalu -- turut pernah dipakai pemain legenda seperti Omar Sivori, Michel Platini, Roberto Baggio dan Alessandro Del Piero.

Dybala pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona sebagai pengganti Neymar yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG), namun tindakan terbaru Juventus ini dilihat sebagai bayangan bahawa mereka bertekad memastikan bekas pemain Palermo ini kekal bersama Bianconeri.

Dybala -- yang telah meledak 42 gol dalam 94 penampilan bersama Juventus -- berkongsi perasaannya di laman sosial Instagram: "Ketika mereka meminta untuk menukar angka jersi, saya mengambil masa untuk berfikir kerana jersi no.21 saya telah bersama saya meraih trofi selain ia menjadi nombor keramat pemain legenda seperti Zinedine Zidane dan Andrea Pirlo.

"Tetapi no.10 adalah angka yang istimewa. Ia satu penghormatan kerana ia memikul tanggungjawab besar kepada kelab sebesar Juventus."